Tuesday, July 10, 2012

DPMZ MENGECAM KARIKATUR MENGHINA PRESIDEN BARU MESIR SERTA AGAMA ISLAM.



Pihak DPMZ dengan nada tegas mengecam tindakan sebuah akhbar tempatan (MALAYSIA) berhubung karikatur yang dilihat berunsur negatif dan melanggar sensitiviti masyarakat mesir umumnya dan presiden pilihan rakyat iaitu Dr.Muhammad Mursi serta agama islam secara khususnya.

Saturday, June 16, 2012

KEBANGKITAN ISLAM DARIPADA ANGAN-ANGAN KEPADA REALIT

                                                


Sesungguhnya Allah SWT telah mengurniakan kita sebagai ummat Islam dengan kemuliaan Islam itu sendiri dan telah menjadikan Islam dan Iman itu sebagai sebagai dua nikmat yang paling terpuji sehinggakan Allah SWT telah mendedikasikan di dalam firmanNya di dalam surah Al-Maidah ayat 3 :
“ Pada hari ini telah Ku-sempurnakan bagimu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-ridhai Islam jadi agama bagimu”.  

Maka, Allah SWT telah mewahyukan satu risalah yang penting kepada Nabi Muhammad SAW yang mana risalah tersebut merangkumi syaria’at yang ditetapkan dan Baginda juga adalah penghulu kepada sekalian Nabi dan Rasul dan Al-Quran itu sebagai penghulu dan pemacu kearah kebangkitan Islam yang diturunkan oleh Allah SWT sebagaimana ummat Nabi Muhammad SAW sebagai rantaian kepada perjuangan Baginda SAW.

Monday, April 30, 2012

Trivia ARMA : Merungkai Sejarah



1. 22 Februari 1992 adalah sejarah hitam bagi PMRAM apabila pihak Kedutaan secara rasmi tidak membenarkan PMRAM menggunakan kemudahan di Asrama Rumah Melayu. 

2. Pada tarikh 28 April 1992, pintu pejabat PMRAM dipalang  setelah mendapat notis supaya mengosongkan pejabat di Asrama Rumah Melayu ( ARMA ). Ekoran itu, sebahagian ahli PMRAM mengadakan himpunan bantahan yang dibenarkan oleh pihak keamanan Mesir untuk menuntut kembali hak PMRAM.

3. Bersempena 28 April 2012 pada hari ini, genaplah  sudah 20 tahun hak PMRAM dinafikan. 

4. 1993, berlaku gempa bumi yang menyebabkan kerosakan besar pada struktur ARMA, pejabat PMRAM terpaksa dipindahkan ke tempat baru iaitu di Masakin Othman bagi kerja baik pulih dijalankan.

5. 1994  proses pemindahan sempurna dan ARMA telah dikosongkan. 

6. 1996 Walaupun proses baik pulih telah selesai namun ARMA masih belum boleh diduduki sehingga tahun 1999.

7. 1998 ARMA telah dibuka semula pada tahun ini untuk penggunaan dewan. Antara program yang telah dijalankan adalah Majlis Pengenalan dan Silaturrahim (MPS) untuk pelajar-pelajar baru anjuran PMRAM dengan kerjasama JPM yang membenarkan penggunaan semua bilik untuk penginapan peserta.

8. TIGA TUNTUTAN PMRAM :

1. Membetulkan fakta yang telah diseleweng mengenai pemberian tanah oleh kerajaan Mesir kepada kerajaan Tanah Melayu pada waktu itu.
2. Menuntut Anjung ARMA (perpustakaan kini) untuk dijadikan Pejabat PMRAM
3. Meletakkan 3 orang wakil PMRAM sebagai AJK penggubalan sebarang peraturan mahupun undang-undang berkaitan Asrama Rumah Melayu.

Sumber : pmram.org

Thursday, April 26, 2012

CAJ PERKHIDMATAN YANG DIHARUSKAN OLEH SYARA’



Caj perkhidmatan merupakan bayaran yang dikenakan ke atas perkhidmatan yang diberikan oleh pihak syarikat atau individu. Sebelum ini, pihak MANHAL telah mengeluarkan kajian berkenaan dengan kontrak pinjaman PTPTN dan jelas menunjukkan kontrak pinjaman yang dikenakan mengandungi unsur riba apabila caj tambahan yang dikenakan ke atas pihak yang meminjam dengan kadar tetap 3 peratus.

Adapun keistimewaan yang diberikan kepada beberapa mahasiswa/wi yang mendapat cemerlang iaitu melepaskan bayaran hutang adalah tidak menjadi permasalahan kerana ia tidak mengandungi unsur riba, bahkan ia merupakan salah satu cara melangsaikan pinjaman di dalam Islam bahkan cara ini yang digalakkan.

Justeru, dalam konteks caj perkhidmatan maka ia perlu dinilai dari sudut hukum Islam. Caj perkhidmatan ini dapat dikoreksi berkenaan permasalahan dari sudut hukum berdasarkan hukum kontak ijarah (sewa) iaitu bayaran upah ke atas manfaat (perkhidmatan).

KONTRAK IJARAH / SEWA DALAM ISLAM


Dari sudut bahasa sewa memberi erti belian ke atas manfaat. Iaitu bayaran yang diberikan ke atas manfaat yang diperoleh.

Dari sudut istilah pula, ulama berbeza pendapat. Ia boleh dirujuk di kitab-kitab fekah 4 mazhab. Walaupun berbeza dari sudut istilah, namun mereka bersepakat bahawa kontrak sewa ialah kontrak yang lazim (melibatkan kedua-dua pihak) ke atas (memperoleh atau menggunakan) manfaat, dalam tempoh tertentu dengan bayaran yang diketahui kadarnya.

Dalil yang mengharuskan kontrak sewa ialah :
-
          Berdasarkan kepada Firman Allah dalam Surah At-Tholak pada ayat ke-6:
 (
“Maka sekiranya mereka menyusukan anak kamu maka berikanlah kepada mereka akan upah.”
-       
           Nabi SAW bersabda :

أعْطُوا الأَجِيْرَ أجْرَه قَبْل أنْ يَجِفَّ عرقَه

“Berikanlah kepada pekerja (yang kamu upah tersebut) akan upah sebelum kering peluhnya (jangan bertangguh atau melewat-lewatkan).” – Sunan Ibnu Majah no 2443

Rukun bagi kontrak sewa ialah : 
      1 - Dua pihak yang terlibat.
      2 -   Lafaz yang menunjukkan sewa atau ingin memberi upah.
    3 -  Nilai upah mestilah dimaklumi samada nilai wang atau barangan yang dipersetujui bersama.
      4 -  Manfaat. Iaitu upah yang diberikan adalah ke atas manfaat yang diperolehi.


Para ulama bersepakat bahawa sewa diharuskan ke atas manfaat samada berbentuk barangan atau khidmat. Justeru, pihak yang mengambil khidmat wajib memberikan upah dengan kadar yang tertentu pada waktu yang tertentu mengikut sebagaimana persetujuan bersama dengan pihak yang memberikan sewaan barang atau khidmat. – Fiqh Sunnah, karangan Sayyid Sabiq

CAJ PERKHIDMATAN ADALAH BERASASKAN KONSEP UPAH

Hasil penilaian di atas maka jelas kepada kita bahawa caj perkhidmatan termasuk dalam kontrak sewa iaitu melibatkan bayaran upah (ujrah) ke atas khidmat yang diberikan.
Caj khidmat ini bukan hanya khusus untuk diperbincangkan ke atas caj kadar tetap bayaran pinjaman PTPTN bahkan apa jua yang boleh dikaitkan sebagai caj perkhidmatan antara caj mesin ATM dalam mengeluarkan wang dan sebagainya.

Justeru, caj perkhidmatan apa jua bentuk yang dilakukan oleh mana-mana pihak samada negara, syarikat atau individu maka ia mestilah menepati kontrak upah agar hukum ke atas caj tersebut mengikut syara’. Jika tidak, maka ia adalah haram disebabkan kontrak yang terbatal bahkan boleh terjatuh ke dalam konteks riba.

Dalam konteks bayaran pinjaman PTPTN, terdapat dakwaan bahawa caj kadar tetap 3 peratus tersebut merupakan caj perkhidmatan dalam menguruskan kewangan yang dijalankan. Bermakna ia merupakan upah bagi perkhidmatan yang dijalankan. Sehubungan itu, kita perlu mengkaji dan meneliti adakah caj tetap kadar 3 peratus tersebut menepati syara’ sebagaimana yang telah disepakati oleh ulama.

SYARAT KE ATAS CAJ PERKHIDMATAN

Berikutan caj perkhidmatan kadar tetap 3 peratus bagi bayaran pinjaman PTPTN atau apa jua caj perkhidmatan ke atas pinjaman, maka telah bersepakat dan mengeluarkan ketetapan melalui Akademi Fiqh Islam (Mujamma’ Fiqh Islami) pada perbincangan kali ke-3 yang telah diadakan di Oman pada tahun 1986 iaitu :
1-      Harus mengambil upah / caj perkhidmatan ke atas pinjaman.
2-      Caj perkhidmatan yang dikenakan adalah mengikut kadar perbelanjaan pengurusan yang diusahakan.
3-      Tambahan nilai ke atas perkhidmatan yang sebenar adalah diharamkan dan dikira sebagai riba.

Mana-mana pihak yang mengenakan caj perkhidmatan tanpa menepati 3 syarat yang telah ditetapkan oleh Akademi Fiqh Islami tersebut maka adalah haram. Ia jelas bahawa ulama bersepakat membenarkan bahawa caj perkhidmatan yang dikenakan ke atas pinjaman adalah mengikut perbelanjaan perkhidmatan, bahkan dilarang sama sekali melebih daripada tanggungan perbelanjaan yang sebenar.

Justeru, caj perkhidmatan tersebut bukanlah ke atas nilai pinjaman yang diberikan. Hal ini demikian kerana jika melakukan tambahan upah iaitu caj ke atas nilai pinjaman maka ia adalah jelas riba sebagaimana riba yang dilakukan  pada zaman jahiliyyah.
Firman Allah dalam Surah Ali Imran pada ayat ke-130 

“Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil riba dengan tambahan berganda-ganda (riba jahiliyyah). Bertaqwalah kepada Allah semoga kamu beroleh kejayaan.”

Imam Abu Bakar Ar-Razi(salah seorang fuqaha' Mazhab Hanafi) dikenali sebagai Al-Jasas  menyebut di dalam kitab Ahkam Al-Quran bahawa :

“Riba jahilyyah ialah pinjaman secara bertempoh dan dikenakan bayaran tambahan secara bersyarat.”

Selain itu, kadar caj perkhidmatan yang dikenakan mestilah jelas dan dimaklumi iaitu bukan dalam bentuk nisbah peratus. Hal ini demikian nisbah peratus dalam caj perkhidmatan boleh menimbulkan keraguan dan kesamaran yang dipanggil sebagai gharar. Hasilnya,berlaku persoalan berapakah yang mesti dibayar kerana tidak jelas dalam caj yang dikenakan ekoran gharar yang berlaku.
Gharar ialah :

ما يكونُ مَسْتورُ العاقِبة أو الخَطَر الذي يَسْتَوي طَرْفاه , أي الوُجودُ والعَدَم

“Apa yang terlindung penghujungnya dan risiko yang sama tahap mungkin wujud atau tidak.” – kitab Bada'i As-Sonai'e, Al-Kasani

Nabi Muhammad SAW menegaskan:

نَهَى رسولُ الله صلى الله عليه وسلم عن بَيْع الغَرَر

"Nabi  melarang daripada mengurus perniagaan dengan Gharar"  - Riwayat Muslim

Maka di sini jelas bahawa caj perkhidmatan harus dikenakan bagi menampung perbelanjaan pengurusan yang dijalankan. Namun begitu harus diingatkan bahawa caj tersebut bukanlah ke atas nilai pinjaman akan tetapi mengikut kadar perbelanjaan dan tidak boleh melampaui. Di samping itu juga, kadar caj yang dikenakan mesti jelas dan tepat dengan menggunakan angka supaya pihak yang ingin melakukan pinjaman jelas berkenaan nilai pinjaman yang ingin dipohon dan caj perkhidmatan yang mesti dibayar. – boleh rujuk Fatwa yang dikeluarkan oleh Institusi Kewangan Kuwait no Fatwa 282

KESIMPULAN

Berdasarkan kepada kajian yang telah dibentangkan di atas, pihak MANHAL menegaskan bahawa caj perkhidmatan mestilah menurut syarat-syarat yang telah disepakati oleh para ulama’. Hal ini demikian bagi menjamin kontrak yang sedang dijalankan tidak mengandungi unsur riba. Justeru, MANHAL juga menjelaskan kembali bahawa :

1- Caj yang dikenakan ke atas nilai pinjaman adalah berbentuk riba. Hal ini sebagaimana riba jahiliyyah iaitu mengenakan bayaran berganda ke atas hutang.

2- Caj perkhidmatan adalah mengikut kadar perbelanjaan perkhidmatan yang disediakan sahaja.

3- Kadar caj yang dikenakan mestilah berbentuk jelas bukannya tertakluk kepada nisbah peratus. Elakkan dari berlaku unsur gharar kerana boleh merosakkan akad.


Disediakan oleh :

Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Sumber: MANHAL PMRAM

Thursday, April 19, 2012

Pelaksanaan PTPTN Wajar Dikaji Semula.



Sistem pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) yang telah diperkenalkan oleh kerajaan semenjak tahun 1997 tidak dinafikan merupakan satu usaha yang baik untuk membantu meringankan bebanan kewangan mahasiswa yang tidak berkemampuan tetapi memiliki kelayakan untuk menyambung pengajian mereka di institusi pengajian tinggi sama ada awam mahupun swasta.

TERKINI - Penerangan & Penerbitan